Lapang sebelum sibuk!

Owh, sudah masuk minggu ketiga saya menanti maklum balas akhir (harapnya!) dari Suzanne. Hari ini saya diberitahu bahawa dia masih belum siap menyemak draf tesis saya. Moga Allah mudahkan urusannya supaya saya dapat meneruskan perancangan saya dengan jayanya, supaya mesyuarat-mesyuarat saya di bilik Suzanne ini membuahkan hasil yang cemerlang dan meninggalkan kenangan manis untuk saya.


Minggu ini bermulanya cuti sekolah. Aktiviti pertama untuk Najah dan Nadhirah adalah menonton wayang di Bury. Kami berombongan dengan pakatan Kak Lin dan Yati dengan menaiki tram yang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke destinasi. Agak mencabar untuk mengawal kanak-kanak di dalam tram tanpa rasa kekok diperhatikan oleh penumpang lain yang mungkin tertanya-tanya apakah jenis makanan yg telah diberi kepada kanak-kanak tersebut hingga menyebabkan mereka terlalu girang, lalu membingitkan keadaan di dalam tram yang tenang sebelum kehadiran kami. Melihat kanak-kanak lain yang lebih behave, menyebabkan saya merasakan adalah bagus jika ada puan supernanny untuk mengawal keadaan. Saya juga fikir mungkin dengan bantuan para bapa kanak-kanak ini boleh terkawal keterujaan mereka melihat dunia luar. Tetapi oleh kerana pada hari tersebut golongan bapa pergi memancing, maka aktiviti bersama anak-anak telah diserahkan kepada kaum ibu yang terkulat-kulat ditinggalkan sepanjang hari dengan sangkaan ketabahan melayan anak mungkin akan terubat dengan hasil tangkapan ikan yang lumayan.

Masih banyak waktu lapang saya rupanya walaupun sibuk melayan aktiviti Najah dan Nadhirah seperti menghias telur, membuat jahitan patch work, membuat cup cakes, melukis dan mewarna serta menonton siri Harry Potters, drama melayu dan Korea! Namun kelapangan waktu pada kali ini adalah yang paling menyiksakan kerana dipenghujungnya saya masih belum dapat menjangka adakah berita baik untuk saya atau sebaliknya. Risau dan resah kerana saya tahu bahawa harapan saya untuk menyelesaikan PhD sebelum Ramadhan semakin menipis setiap hari. Dengan PhD saya selalu tewas dengan perancangan saya. Ianya tidak sama dengan mengambil first degree atau masters yang saya masih mampu mengawal masa dan perancangan dengan mengawal sikap dan disiplin untuk berjaya. Pengalaman ini telah mengukuhkan pandangan tentang kesukaran PhD itu sendiri dan kesukaran mengurus kehidupan sebagai penuntut PhD yang berkeluarga yang hanya mampu difahami dengan melalui sendiri proses to `survive' in pursuing PhD.

Cuaca di Manchester pada 2 minggu kebelakangan ini agak sejuk, dengan hujan yang turun hampir setiap hari. Adalah menyedihkan untuk orang-orang seperti saya yang sun-deprived dan sangat terpengaruh emosinya dengan cuaca. Kemunculan matahari walaupun sedikit boleh membuat saya tersenyum dan merasa bahagia. Lebih-lebih lagi jika segala keserabutan di kepala dan di dada sudah terlerai bila kita tahu yang kita sudah berada di jalan yang lurus dan berpenghujung.

Juga bila ada budak-budak perempuan yang boleh tersenyum untuk ceriakan saya seperti ini.


Saya tahu, perjalanan sejauh ini tidak sepatutnya disiakan dengan perasaan takut dan gementar walaupun ianya adalah amat mudah untuk terasa kerdil dengan keupayaan diri bila kita dikritik dan dibandingkan. Saya tahu, perjalanan sejauh ini juga tidak perlu diisi dengan keraguan terhadap apa yang Allah telah peruntukkan kepada saya- diberiNya apa yang saya perlu, bukan semua yang saya hendak. Saya pasti akan merindui susah senang saya di sini, dan menghargai keperitannya yang mengajar saya menjadi seorang yang berguna pada anak bangsa dan agama, InsyaAllah. Hanya Dia yang tahu mengapa saya ditakdirkan untuk menimba ilmu dan pengalaman hidup di sini. Saya serahkan segala urusan kepadaNya. Moga saya sentiasa beringat di dalam waktu lapang, sebelum saya disibukkan.

Hingga di waktu lapang yang lain. Redhalah pada apa yang telah ditentukan dalam hidupmu!

Comments

Unknown said…
All the best k.nurul...I miss you so much.....
thanks a lot Intan. I hope everything runs smoothly in M'sia. Miss you and the girls too :)

Popular Posts