
Musim panas tahun ini menyaksikan kedatangan kami sekali lagi ke Penmon Point di mana Pulau Puffin, pulau yang teletak di wilayah Anglesey, Wales dapat dilihat dengan jelas dari gigi pantai Penmon Point. Sungguh cepat masa berlalu sehinggakan kunjungan kami setahun yang lepas dirasakan seperti baru kelmarin kami berkelah-kelah di tepi pantai menikmati cahaya matahari yang julung-julungnya memancar di bumi UK ini. Ya Pulau Puffin, saya masih lagi di sini, masih menghitung-hitung, bilakah hari yang bertuah itu akan muncul dalam hidup saya. Hari di mana saya boleh menghantar tesis saya untuk disemak oleh pemeriksa. Juga hari di mana saya boleh berdiri mempertahankan tesis saya dan mendengar apakah keputusannya. Semangat untuk menulis tidak selalunya tinggi dan meluap-luap. Kalau semua orang boleh sentiasa bersemangat saya yakin banyak kerja boleh dilakukan dengan efisien. Saya pun sukar untuk menerangkan mengapa dan apakah yang mempengaruhi. Tetapi yang saya pasti, lazimnya saya mengambil masa beberapa hari untuk mengurus rasa rendah diri setelah melihat komen-komen dari penyelia sebelum dapat memujuk diri untuk tampil positif kembali. Untuk jangka masa yang 'kelabu' itu saya selalunya sengaja menyibukkan diri dengan mengemas dan menghias rumah atau memasak makanan kegemaran, atau berangan-angan tentang rupa paras rumah idaman saya.

Saya selalu berharap yang hidup saya akan selalu tenang, setenangnya tasik Gwnant di Snowdonia itu dan berdoa supaya tidak cepat emosi bila dugaan melanda diri. Tetapi kadang-kadang saya sering tewas untuk menjadi rasional bila berdepan dengan orang-orang yang suka mementingkan diri sendiri dan mengambil kesempatan. Saya selalu berharap yang saya boleh bersikap bersahaja pada perkara-perkara yang saya tidak suka, tetapi saya tahu sayalah orang yang paling tidak pandai berlakon atau menipu diri sendiri. Hidup di rantauan memberi saya peluang untuk belajar tentang banyak perkara. Tentang persahabatan yang tulen, dan palsu. Tentang kesempatan, dan mengambil kesempatan. Juga tentang sejauh mana kita mahu terus membiarkan diri dengan kealpaan dan kelalaian.
Secara analoginya, ianya ibarat satu perjalanan yang panjang di mana sebelum sampai ke destinasi itu kita ditemani dengan bunga-bungaan cantik yang menggoda kita untuk memetiknya, dan juga ada nya taman-taman indah yang memanggil-manggil kita untuk berhenti dan berkalih padanya. Ada juga deduri di jalanan yang melambatkan perjalanan kita, dan adakalanya kita terpaksa mengambil masa untk merawat luka akibat terpijak duri-duri tersebut. Kerana keindahan-keindahan atau kesukaran-kesukaran tersebut ada yang tersesat, atau terlupa destinasi asal perjalanan. Yang paling malang juga bila ada yang terus membatalkan perjalanan dan menyimpang kepada perjalanan alternatif terbaik pada firasat masing-masing.
Saya masih lagi di perjalanan. Ditemani sang suami yang setia, anak-anak yang manja dan sahabat-sahabat yang juga masih bergelumang dengan tanggungjawab yang belum selesai. Doakan kami, moga pulang dengan senyuman dan dapat berbakti pada agama, anak bangsa yang memerlukan. Moga terus bersemangat menjalani hidup. Hingga di lain catatan. Salam musim panas!
Comments