Suatu hari di musim bunga


Saya kira musim bunga sudah menjengah secara rasminya pada bulan Mac ini kerana telah muncul cik Daffodil dan kawan-kawannya di kebanyakan jalan berumput di Manchester ini, walau pun suhu masih sejuk. Hari ini saja suhu tertinggi adalah 5 celcius di Manchester, esok pula mungkin 4 darjah celcius, dan di tempat seperti Scotland salji masih turun! Waktu juga sudah dipercepat sejam awal bagi - penyelarasan ke waktu musim panas British (British Summer Time) dari waktu Greenwich (GMT), tanda waktu siang menjadi lebih panjang.

Dan sebenarnya hidup itu indah dan wajar untuk dinikmati, disyukuri. Indah dikelilingi keluarga yang sentiasa prihatin tentang saya, suami yang sentiasa di sisi menyokong saya sepenuh jiwa raganya, anak-anak yang selalu menjadi penghibur dan mendorong saya menjadi lebih kreatif. Indah kerana musim bunga sudah bermula, sang matahari akan menemani hari-hari juang saya, dan saya sepatutnya tidak punya alasan untuk merasa muram. Ya, tidak perlu muram, saya perlu bersemangat untuk mengorak langkah ke penghujung. Tidak mahu menggalas bebanan berpanjangan, kalau saya punya pilihan, kalau semua orang punya pilihan, mungkin. Mahu selesai-langsaikan semua urusan secepat mungkin.

Kerana saya sudah rindu mahu pulang. Rindu pada keluarga saya. Rindu pada enaknya lontong, murtabak, asam pedas Melaka dan ketupat nasi sambal ikan bilis dan meriahnya suasana di pasar malam. Melihat gambar-gambar makanan Malaysia di internet atau pun entri makanan di facebook buat air liur saya bergenang-genang dan kadangkala meleleh tanpa sedar. Saya maafkan mereka kerana saya tahu mereka tidak tahu saya sengsara. Aduh teruknya saya. Mencipta alasan untuk menyesakkan jiwa dan harus saya berjaya buat emak simpati pada saya. Kesimpulannya saya punya banyak alasan untuk segera menulis. Segera menyudahkan tesis.

Namun bukan hanya perlu segera tapi perlu cemerlang juga. Bukannya kerja cincai boncai. Sebab ini bukan kerja main-main. Bukan kerja cap ayam. Itulah cabaran yang datang mengadap, untuk sesiapa saja yang telah menyerah diri dalam kancah PhD. Kuantiti dan kualiti. Walau dalam pakej apa pun bentuk serahan diri itu datang - pakej bujang, berkeluarga, duda ? Bidang sains sosial, komputer, kejuruteraan -mungkin sama saja cabaran mentalnya. Saya tidak pernah perlekehkan bidang lain, mengatakan bidang saya lebih susah dari orang - jauh sekali. Atau perlekehkan orang-orang bujang yang berjuang di medan ini. Kerana setiap individu ada saja cabaran yang unik yang Allah anugerahkan untuk dipelajari. Mungkin mudah bagi orang lain, tidak pada orang itu sendiri. Jadi tolong jangan fitnah saya tentang persepsi susah-senangnya PhD ini.

Terima kasih melayan ngomelan saya ini. Ngomelan setelah penat-buntu menulis. Selamat mengharungi cabaran mental, buat semua. Moga Allah permudahkan saya dan kamu.

Comments

HUSNA said…
wah..maksu buat kkk lg semangat nk struggle nih..yeay!
Dessert Queen said…
Cepat balik..nanti kita boleh gi makan2 kat Melaka...best woo Melaka sekarang..hahahah!
Akmar Emran said…
Husna, mari bersemangat!
Nora, Rindu kat kau juga. Wah, aku semestinya nak pegi makan-makn ngan ko.
Anonymous said…
betul tu Qma..aku sokong.. masing2 ada cabarannya..yg bujang dugaan tmpt lain...semua tu sebahagian drpd degree PhD kita la tu.besnya dh nk write up Qma.. aku nak semangat mcm ko jugak..
Akmar Emran said…
Shu, selamat berjuang. All the best to you dear!
Anonymous said…
saat-saat kritikal ni, kesihatan emosi dan fizikal memang perlu dijaga. apa saja yang datang kita terima, masa memang singkat..sedar tak sedar, sampai juga akhirnya. take care
Akmar Emran said…
Yana,thanks a lot. Sgt setuju with what you said.

Popular Posts